Thursday, January 7, 2010

Selamat Kembali Dan Selamat Datang ke Kampus


بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...




SELAMAT KEMBALI KE KAMPUS UNTUK PELAJAR LAMA
DAN
SELAMAT DATANG KE KAMPUS UNTUK PELAJAR BARU


Monday, January 4, 2010

Dampingilah ALLAH S.W.T

بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...


Sekali lagi kita tanya diri sendiri “DI MANA ALLAH DALAM HATI kita?” Adakah kita rasa amat gembira bila dapat berdamping denganNya atau sebaliknya? Adakah kita telah berusaha agar Allah sentiasa bersama kita?

Kalau begitu,sejauh manakah kita rasa gembira menerusi solat yang dilaksanakan ketika mendampingi dan bermunajat padaNya?

Apakah yang kita dapat rasai ketika sujud di dalam solat dan sejauh mana kita meneruskan zikir terhadapNya bukan hanya terbatas selepas solat, ingatlah ketika Allah menyebut: “aku bersama hambaKu ketika dia mengingatiKu dan kedua-dua bibirnya bergerak kerana aku.”

Adakah kita dapat meluangkan sepertiga malam untuk menyepi diri bersama Allah? Tidakkah kita teringat akan janji-janji Allah pada kita yang mampu bangun di tengah-tengah malam - Allah menyebut: “Adakah terdapat hambaKu yang bangun di tengah malam untuk bertaubat, di mana aku menerima taubatnya, yang memohon keampunanKu, maka aku ampunkan segala dosanya dan memohon sesuatu, maka aku berikan padanya”

Tidakkah kita mahu berusaha untuk menjadikan hati-hati ini penuh dengan pujian kepada Allah, berkorban keranaNYA untuk meninggikan syiar agamaNYA walaupun pelbagai rintangan dan halangan.

Berapa banyak ruang dan masa yang ada pada kita untuk memerhatikan segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada kita, terus bersyukur padaNya tanpa sebarang perasaan prejudis. Pernahkah terlintas dalam pemikiran kita bagaimana Allah menganugerahkan nikmat hidayah, kesihatan, harta, ilmu pengetahuan, kepandaian, kemahiran, bakat, anak-anak, ibu bapa yang terlalu menyanyangi kita walau saat kita tersungkur, suami atau isteri yang mengasihi kita?

Atau kita sekadar menerima nikmatNya tanpa sebarang balasan untuk beramal dan mematuhi segala titah perintah Allah.

Sesungguhnya ketahuilah wahai saudara-saudari seagama! Dunia dan bumi yang kita pijak ini menjanjikan pelbagai kehancuran, ia boleh berlaku pada apa yang kita ada atau kita cari, termasuk harta benda, anak-anak, pangkat dan jawatan..tapi apa yang paling penting. DI MANA ALLAH DALAM HATI KITA?

Jika tergerak hati untuk melakukan sesuatu kejahatan, tanyalah diri DI MANA ALLAH DALAM HATI KITA? Allahkah yang patut dicari atau maksiat yang patut ditembusi, bagaimana keadaan aku ketika hendak bertemu dengan Allah pada hari pembalasan yang mungkin esok, lusa atau hari ini atau mungkin pada saat ini..sedangkan aku melakukan maksiat kepadaNya???

Monday, December 14, 2009

10 Amalan Terbaik Tapi Terbalik???

بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...


Marilah kita bermuhasabah atau menilai dan menghitung kembali tentang amalan harian kita. Kadang-kadang kita akan dapati amalan kita adalah terbalik atau bertentangan dari apa yang patut dilakukan dan dituntut dalam Islam. Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau terikut- ikut dengan budaya hidup orang lain. Perhatikan apa yang dipaparkan dibawah sebagai contoh amalan yang terbalik:-

1. Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga si mati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah S.A.W di mana Rasulullah S.A.W telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga si mati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka. Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir makan kenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh si mati atau harta peninggalan si mati yang belum dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?

2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin) orang kerap Assalamualaikum berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi makan kenduri. Tetapi kalau ia menziarah orang mati, tidak segan pula Assalamualaikum tak berisi. Sepatutnya kalau menziarah keluarga si matilah kita patut memberi sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah pendapatan.

3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara kita berpakaian cantik kemas dan segak tetapi bila mengadap Allah S.W.T baik di rumah mahupun di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak berbaju. Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik.

4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan di beri jamuan, kita rasa segan nak makan sampai habis apa yang dihidangkan kerana rasa segan dan malu, sedangkan yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.

5. Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah S.A.W untuk mengelakkan rasa riak.

6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan kita dapati perbelanjaan di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan dibulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan kita?

7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke Makkah dan apabila balik dari Makkah tak buat kenduri pun. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik? Atau kita mempunyai tujuan lain.

8. Semua ibubapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam peperiksaan. Maka dihantarlah ke kelas tuisyen walau pun banyak belanjanya. Tapi kalau anak tak boleh baca Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak mahu hantar tuisyen baca Quran atau kelas khas mempelajari Islam. Kalau guru tuisyen sanggup dibayar sebulan RM20.00 satu pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar RM15.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan. Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih berbimbang jika anak tidak dapat baca Al Quran atau bersolat dari tidak lulus peperiksaan.

9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah S.W.T tak kira siang malam, pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah S.W.T (masjid) tak hujan, tak panas, tak ribut pun tetap tak datang ke masjid. Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah S.W.T diminta tapi nak ke rumahNya segan dan malas.

10. Seorang isteri kalau nak keluar rumah sama ada dengan suami atau tidak, bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah, masyaAllah. Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumahtangga kurang bahagia.

Cukup dengan contoh-contoh di atas. Marilah kita berlapang dada menerima hakikat sebenarnya. Marilah kita beralih kepada kebenaran agar hidup kita menurut landasan dan ajaran Islam yang sebenar bukan yang digubah mengikut selera kita.

Wallahu'alam.
ISLAM IS THE WAY OF LIFE.