Monday, December 14, 2009

10 Amalan Terbaik Tapi Terbalik???

بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...


Marilah kita bermuhasabah atau menilai dan menghitung kembali tentang amalan harian kita. Kadang-kadang kita akan dapati amalan kita adalah terbalik atau bertentangan dari apa yang patut dilakukan dan dituntut dalam Islam. Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau terikut- ikut dengan budaya hidup orang lain. Perhatikan apa yang dipaparkan dibawah sebagai contoh amalan yang terbalik:-

1. Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga si mati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah S.A.W di mana Rasulullah S.A.W telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga si mati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka. Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir makan kenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh si mati atau harta peninggalan si mati yang belum dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?

2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin) orang kerap Assalamualaikum berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi makan kenduri. Tetapi kalau ia menziarah orang mati, tidak segan pula Assalamualaikum tak berisi. Sepatutnya kalau menziarah keluarga si matilah kita patut memberi sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah pendapatan.

3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara kita berpakaian cantik kemas dan segak tetapi bila mengadap Allah S.W.T baik di rumah mahupun di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak berbaju. Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik.

4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan di beri jamuan, kita rasa segan nak makan sampai habis apa yang dihidangkan kerana rasa segan dan malu, sedangkan yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.

5. Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah S.A.W untuk mengelakkan rasa riak.

6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan kita dapati perbelanjaan di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan dibulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan kita?

7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke Makkah dan apabila balik dari Makkah tak buat kenduri pun. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik? Atau kita mempunyai tujuan lain.

8. Semua ibubapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam peperiksaan. Maka dihantarlah ke kelas tuisyen walau pun banyak belanjanya. Tapi kalau anak tak boleh baca Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak mahu hantar tuisyen baca Quran atau kelas khas mempelajari Islam. Kalau guru tuisyen sanggup dibayar sebulan RM20.00 satu pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar RM15.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan. Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih berbimbang jika anak tidak dapat baca Al Quran atau bersolat dari tidak lulus peperiksaan.

9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah S.W.T tak kira siang malam, pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah S.W.T (masjid) tak hujan, tak panas, tak ribut pun tetap tak datang ke masjid. Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah S.W.T diminta tapi nak ke rumahNya segan dan malas.

10. Seorang isteri kalau nak keluar rumah sama ada dengan suami atau tidak, bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah, masyaAllah. Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumahtangga kurang bahagia.

Cukup dengan contoh-contoh di atas. Marilah kita berlapang dada menerima hakikat sebenarnya. Marilah kita beralih kepada kebenaran agar hidup kita menurut landasan dan ajaran Islam yang sebenar bukan yang digubah mengikut selera kita.

Wallahu'alam.
ISLAM IS THE WAY OF LIFE.

Sunday, December 13, 2009

Kenapa ada remaja tidak percaya Tuhan?

KEADAAN zaman yang kini semakin gawat dan keliru ternyata telah memberi kesan yang amat serius kepada akidah anak-anak remaja kita. Kalau dahulu kita dikejutkan dengan gejala menghina agama dan al-Quran oleh pengikut-pengikut black metal, kini muncul pula gejala baru, iaitu ateis (tidak percaya pada kewujudan Tuhan).

Pengerusi Sahabat Insan dan Iman Malaysia (SIDIM), Hanafi Malek ketika mendedahkan perkara itu berkata, masalah ini perlu dipandang serius kerana jumlah remaja Islam yang mula tidak percaya atau sangsi dengan kewujudan Allah, kini semakin membimbangkan.

Sejak terlibat membantu remaja-remaja bermasalah kira-kira 10 tahun lalu, beliau sudah menemui lebih daripada 100 orang remaja yang terlibat dengan fahaman tersebut.

Katanya, sepanjang empat tahun SIDIM ditubuhkan, beliau telah berjumpa dengan lebih kurang 60 remaja yang berfahaman demikian.

"Bukan itu saja, mereka turut mempermain dan meremeh-remehkan kewujudan serta kekuasaan Tuhan.

"Itu ketika bersama SIDIM, tetapi kalau dicampur dengan pengalaman saya sebelum itu ketika masih bersama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain, jumlahnya lebih daripada seratus orang," tegas Hanafi.

Beliau memberitahu, kebanyakan remaja ini berasal daripada keluarga kaya, berjaya dan tinggal di bandar. Sebahagian lagi daripada keluarga yang terlalu miskin.

Dari segi umur pula, ujar Hanafi, kebanyakan mereka berusia sekitar 14 hingga 25 tahun, iaitu golongan yang masih tercari-cari identiti hidup.

Berdasarkan pengalamannya itu, Hanafi menjelaskan, terdapat beberapa faktor mengapa remaja terbabit memilih untuk menjadi seorang ateis.

Antaranya, latar belakang keluarga yang porak-peranda seperti ibu bapa bercerai, keluarga yang kaya tetapi mengabaikan anak-anak, pengaruh rakan, mengagungkan cara hidup barat, kurang didikan agama dan sejarah silam.

"Remaja-remaja ini kebanyakannya tertekan dengan masalah hidup. Antara yang saya temui ialah mangsa cabul oleh ahli keluarga sendiri," kata beliau.

Akibat tertekan dengan masalah itu, remaja ini mula tidak mempercayai kewujudan Tuhan.

Kata remaja ini, kalau Tuhan wujud, kenapa Tuhan membenarkan dirinya dicabul dan ahli keluarganya tadi tidak ditangkap dan dihukum?

"Ada juga mat rempit yang berkata, kalau Tuhan wujud, kenapa dia tidak ditangkap? Kenapa dia menang perlumbaan? Kenapa kawannya mati pada malam Jumaat?

"Malah ada yang mengatakan, kalau Allah Maha Berkuasa kenapa ada orang susah. Kenapa Allah tidak beri semua manusia kaya?" kata Hanafi.

Bagaimanapun, jelasnya, paling membimbangkan ialah anak muda yang asalnya berpendidikan agama serta penuntut Institusi Pengajian Tinggi.

"Saya pernah menemui seorang remaja berpendidikan agama yang mengalami kejutan budaya dan kemudian terlibat dengan gejala maksiat. Remaja ini berkata, kalau Tuhan ada dan Maha Pengampun, kenapa Dia menciptakan syaitan dan neraka?

"Bila berlaku peperangan di Palestin dan Iraq, ramai orang Islam terbunuh. Selepas peristiwa itu, pelajar ini kata, kalau Allah berkuasa pasti diselamatkan umat Islam dan dihapuskan kaum kafir.

"Sejak itu, pelajar ini terus menafikan kewujudan Tuhan dan menjadi ateis," kata Hanafi.

Anak muda penuntut IPT pula terikut-ikut dengan fahaman itu selepas membuat pemerhatian ilmu secara logik akal dan tidak diseiringkan dengan pendekatan Islamiah.

Justeru untuk berhujah dengan remaja dan anak muda ini, logik akal amat diperlukan kerana mereka sememangnya telah menolak al-Quran.

"Saya bagi contoh ceritakan kepada mereka tentang tiupan bayu laut. Pastinya hembusan bayu itu akan membuatkan seseorang itu terasa dingin, sejuk dan nyaman, sedangkan angin itu kita tidak nampak.

"Begitu juga dengan Tuhan. Manusia tidak nampak tapi tahu akan kewujudan-Nya kerana percaya setiap benda di dunia ini pasti ada penciptanya.

"Secara keseluruhannya, bagi saya, punca utama gejala ini ialah iman tidak kental dan tidak mengamalkan Islam yang sebenarnya," tegas Hanafi.

Lantaran itu, Hanafi meminta pihak keluarga, kerajaan dan NGO bersama-sama menggembleng tenaga menangani gejala ini sebelum ia menjadi bertambah parah.

Di atas adalah petikan daripada siasatan eksklusif majalah Al Islam, keluaran Disember 2009, mengenai gejala ateis.

Selain artikel tadi, majalah tersebut turut menyiarkan rencana-rencana lain sebagai iringan, antaranya mengenai pengakuan remaja-remaja ateis, latar belakang fahaman itu dan bagaimana untuk berhujah dengan mereka.

Rencana lain yang menarik dan perlu dibaca antaranya, kisah pahlawan Aceh yang diseksa sehingga buta, imam yang dibenci makmum, masalah tatu di badan dan isu Wahabi.

Sumber: Utusan Malaysia

Friday, December 11, 2009

Dimana Allah dalam hati kita



Sesekali kita perlu merenung jauh ungkapan “di mana Allah dalam hati kita”, agar kita dibayangi kasih sayang Allah dengan apa yang kita lakukan, dalam kehidupan harian yang banyak menjurus kepada habuan duniawi lebih daripada mengingati Allah.

Kita perlu meletakkan dalam minda beberapa persoalan untuk dijawab, di mana ia boleh membantu meningkatkan iman, hubungan serta keupayaan untuk maju dalam pelaksanaan ibadat yang sangat-sangat dituntut oleh Islam.

Persoalan seperti-adakah kita telah mengagungkan Allah dalam perkara yang patut diagungkan? Bagaimana pula keagungan terhadap Allah menyerap masuk dalam sanubari kita?

Sehubungan ini, Saidina Ali bin Abi Talib ada mengungkapkan kata-kata masyhurnya yang memuji golongan solihin, antara lain beliau menyebut: sesungguhnya keagungan Allah sentiasa bertapak dalam hati, apa yang mereka lihat selainNya adalah kecil belaka.

Cuba perhatikan serta renung secara mendalam kehidupan golongan solihin, yang penuh dengan pujian terhadap Allah atas segala keagungan ciptaanNya.

Suasana ini telah menjadikan mereka sentiasa cermat dalam bertindak, berusaha tidak menyinggung kesucian Islam dengan kata-kata atau perbuatan. Mereka hanya takut kepada Allah dan tidak kepada makhluk apatah lagi derhaka kepadaNya.

Keagungan hanya layak disanjung terus kepada Allah, tidak memohon sesuatu melainkan kepadaNya. Hati mereka hanya berpaut hanya untukNya, semua yang ada di muka bumi ini kerdil dan bersifat sementara, hanya Allah sahajalah yang kekal tanpa kesudahan.

Justeru, di manakah kita terhadap cinta kepada Allah? Bagaimana hubungan kita denganNya? Adakah kita benar-benar memelihara kebenaran konsep cinta hanya kepadaNya atau ada yang lain turut menerima cinta kita untuknya? Adakah kita telah melakukan apa yang dikehandakiNya dalam proses kita meletakkan cinta hanya kepadaNya?

Perhatikan firman Allah kepada nabi Daud : “Wahai Daud! Sesungguhnya engkau menghendaki sesuatu daripadaKu, Aku pun menghendaki sesuatu daripadamu. Jika engkau benar-benar taat kepadaKu pada apa yang Aku mahu, maka Aku akan permudahkan apa yang engkau mahu. Jika engkau menentangKu pada apa yang Aku mahu, maka Aku akan menyusahkan engkau, maka berusahalah pada apa yang Aku mahu.

Dalam suasana yang lain pula, Allah ada menyatakan dalam sebuah hadis Qudsi yang bermaksud : “Jika mana-mana hambaKu mentaatiKu, maka Aku redha (rela) kepadanya, bila Aku redha kepadanya maka akan Aku berkati seluruh hidupnya, sesungguhnya keberkatan Aku tidak ada penghujungnya, dan jika hambaKu melakukan maksiat kepadaKu, Aku murka kepadanya, bila Aku murka kepadanya maknanya Aku melaknatnya.

Ketahuilah sekalian umat Islam, walau di mana mereka berada, dalam apa jua jawatan yang disandangnya, sesungguhnya Allah tidak suka kepada hambaNya yang memenuhi ruang hidupnya dengan pelbagai kebendaan dunia, hingga tiada ruang Allah di dalam hatinya.

Apatah lagi untuk mengingatiNya dengan berzikir, jika Allah Maha Besar dalam segenap tindak-tanduk hambaNya, anak yang disayangi dijadikan korban tanpa berbelah bagi, itulah suruhan kepada Nabi Ibrahim yang menyembelih anak kerana patuh kepada perintah Allah.

Dalam hal ini, baginda Rasulullah dan para sahabat tidak banyak bertanya, apatah lagi ragu terhadap perintah Allah untuk menghalakan kiblat ke Baitullah (Kaabah). Walaupun sebelum itu kiblat yang dihalakan adalah Masjid al-Aqsa, kerana Allah adalah segala-galanya dalam hidup mereka. Hidup dan mati mereka hanya untuk Allah dan bukan yang lain, kerana yang lain selain Allah akan mati dan memerlukan sokongan lantaran kelemahan dan tidak sempurna.

Waktu sesuai untuk mendampingi Allah

Sekali lagi kita tanya diri sendiri “Di mana Allah dalam hati kita?” Adakah kita rasa amat gembira bila dapat berdamping denganNya atau sebaliknya? Adakah kita telah berusaha agar Allah sentiasa bersama kita?

Kalau begitu, sejauh manakah kita rasa gembira menerusi solat yang dilaksanakan ketika mendampingi dan bermunajat kepadaNya?

Apakah yang kita dapat rasai ketika sujud di dalam solat dan sejauh mana kita meneruskan zikir terhadapNya bukan hanya terbatas selepas solat, ingatlah ketika Allah menyebut : “Aku bersama hambaKu ketika dia mengingatiKu dan kedua-dua bibirnya bergerak kerana Aku”

Adakah kita dapat meluangkan sepertiga malam untuk menyepi diri bersama Allah? Tidakkah kita teringat akan janji-janji Allah kepada kita yang mampu bangun di tengah malam-Allah menyebut: “adakah terdapat hambaKu yang bangun di tengah malam untuk bertaubat, di mana Aku menerima taubatnya, yang memohon keampunanKu, maka Aku ampunkan segala dosa-dosanya dan memohon sesuatu maka Aku berikan kepadanya”

Tidakkah kita mahu berusaha untuk menjadikan hati-hati kita ini penuh dengan pujian kepada Allah, berkorban keranaNya untuk meninggikan syiar agamaNya walaupun menghadapi pelbagai rintangan dan halangan.

Berapa banyak ruang yang ada pada kita untuk memerhatikan segala nikmat yang dianugerahkan Allah ke atas kita, terus bersyukur kepadaNya tanpa sebarang perasaan prejudis. Pernah terlintas dalam pemikiran kita bagaimana Allah menganugerahkan nikmat hidayah, kesihatan, harta, ilmu pengetahuan, kepandaian, kemahiran, bakat, anak-anak, ibu bapa, isteri atau suami kepada kita.

Atau kita hanya sekadar menerima nikmat tanpa sebarang balasan untuk beramal dan mematuhi segala titah perintah Allah.

Sesungguhnya ketahuilah wahai saudara saudari seagama! Dunia dan bumi yang kita pijak ini menjanjikan pelbagai kehancuran, ia boleh berlaku pada apa yang kita ada atau kita cari, termasuk harta benda, anak-anak, pangkat dan jawatan, tapi apa yang penting, di mana Allah dalam hati kita?

Jika tergerak hati untuk melakukan sesuatu kejahatan, tanyalah diri di mana Allah dalam hati kita? Allah kah yang patut dicari atau maksiat yang patut ditembusi, bagaimana keadaan kita ketika hendak bertemu dengan Allah (mati) sedangkan kita melakukan maksiat kepadaNya?

Apabila kita ingat Allah pada waktu senang, pasti Allah akan ingat kita pada waktu kita susah.

Demikianlah peringatan yang perlu kita sama-sama ingatkan antara satu sama lain, agar Allah ada dalam hati kita sama ada pada perkara sekecil-kecilnya atau yang sebesar-besarnya, Tanya diri – di mana Allah dalam hati kita?...