Saturday, November 14, 2009

Ditimpa Azab Kerana Membiarkan Kezaliman

بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum……



Di dalam kitab At_Tahawi telah diriwayatkan sebuah hadith Nabi s.a.w. Abdullah bin Mas'ud r.a. katanya, bahawa Nabi s.a.w. telah bersabda yang maksudnya:
Bahawa Allah SWT telah memerintahkan malaikat supaya mengazab seorang hamba Allah dengan seratus kali pukulan, hamba itu bermohon kepada Tuhan supaya diringankan azabnya. Lalu diperkenankan doanya dengan mengurangkan azab dari seratus kali pukulan kepada hanya sekali sahaja, iaitu dengan dinyalakan api sepenuh kuburnya.

Sahabat bertanya, apakah sebabnya orang itu diazab demikian rupa. Jawab Nabi s.a.w.:
Sesungguhnya orang itu mendirikan solat dengan tidak bertaharah (berwudhu'), selain itu dia melihat saudaranya dizalimi tetapi membiarkannya sahaja.

Dari maksud hadith tersebut dapatlah difahami bahawa Allah SWT telah memperkenankan rayuan seorang hamba yang akan menghadapi hukuman azab dengan seratus kali pukulan, tetapi dengan rahmat Allah jumlah azab tersebut telah dikurangkan kepada satu sahaja. Tetapi walaupun hanya sekali, tidak bermakna azab tersebut menjadi ringan kerana azab yang sekali itu ialah dengan dinyalakan api sepenuh kubur, dan api itu adalah api yang didatangkan dari neraka Jahannam.

Kesalahan orang itu hanyalah sekadar mendirikan solat tanpa memikirkan keadaan wudhu'nya, sama ada dia tidak wudhu' ataupun melakukan wudhu' dengan tidak cermat iaitu tidak sempurna basuhannya sehingga wudhu'nya tidak sah. Selain itu dia membiarkan saudaranya dizalimi, tanpa mengambil sebarang langkah untuk membantu atau menolong saudaranya itu dari terus dizalimi.

Jika dilihat dari sudut kesalahan yang dilakukan oleh hamba Allah tersebut, bukanlah kesalahan dari jenis dosa-dosa besar (minal kaba-ir). Didalam hadith yang lain Nabi s.a.w. juga menyatakan, bahawa ada orang yang diazab hanya disebabkan air kencing, iaitu mereka yang memandang ringan perkara najis sehingga dia tidak mengambil berat soal air kencingnya. Mereka tidak berusaha untuk tuskan air kencing, akibatnya air kencing yang tidak tus itu terkena pakaian, malangnya pakaian tersebut pula digunakan untuk solat yang akhirnya solatnya tidak sah.

Namun demikian kesalahan-kesalahan tersebut walaupun bukan dari jenis dosa besar namun menyebabkan kemurkaan Allah SWT, kerana apabila seseorang itu mendirikan solat tanpa wudhu atau wudhunya tidak sempurna basuhannya, menyebabkan wudhunya tidak sah, maka dengan sendirinya solatnya juga menjadi tidak sah.

Sesungguhnya kemurkaan Allah SWT itu tidak semestinya berpunca dari dosa besar sahaja, dan sebaliknya rahmat Allah Taala juga bukan semestinya hanya dari ibadah atau amal yang besar sahaja, kadang-kadang dari perbuatan atau amal yang ringan seperti bersugi dan sebagainya, juga boleh menjadi sebab turunya rahmat Allah Taala.

Kesempurnaan wudhu adalah kunci utama bagi kesempurnaan solat yang hendak didirikan, justeru itu seseorang mukmin seharusnya peka terhadap ibadah wudhu itu. Sebagaimana yang dikehendaki di dalam hokum fiqh, dia perlu memastikan bahawa tidak ada sebarang perkara yang boleh menghalang perlaksanaannya, dia pasti bahawa air yang digunakan bukanlah air mutanajjis, air musta'mal atau air mutaghaiyyir (air yang sudah berubah warnanya atau rasanya disebabkan sesuatu anasir luaran).

Selain itu mereka juga mestilah meneliti sehingga cukup pasti bahawa tidak ada benda-benda melekat pada anggota wudhu yang boleh menghalang air sampai kepada anggota wudhu seperti terkena cat, getah, sisik ikan dan sebagainya.

Mungkin jarang orang yang menunaikan solat dengan tidak berwudhu, kecuali mereka yang jahil iaitu mendirikan solat hanya sebagai hendak menunjuk-nunjuk kepada orang bahawa dia sembahyang, sedangkan sebenarnya dia tidak pernah sembahyang dan tidak tahu langsung tentang ibadah solat. Tetapi solat tanpa wudhu itu juga bererti wudhu yang tidak menepati kehendak hokum syara', sehingga menyebabkan hadas kecil tidak terangkat, pada hal tujuan wudhu itu ialah untuk mengangkat hadas kecil yang menjadi penghalang bagi melaksanakan solat.

Kesalahan kedua ialah membiarkan saudaranya dizalimi, apabila seseorang itu tidak mengambil sebarang langkah mencegah kezaliman yang berlaku di hadapan matanya, sedangkan dia boleh berbuat sesuatu, maka sama ertinya dia membenarkan kezaliman itu berlaku. Sedangkan Nabi s.a.w. menganjurkan umatnya supaya menolong saudaranya yang berbuat zalim atau yang dizalimi. Dalam ertikata lain hendaklah dia mencegah saudaranya dari melakukan kezaliman atau membela saudaranya yang dizalimi.

Islam mengajar umatnya supaya perihatin dan sensitif terhadap sebarang bentuk kezaliman. Kezaliman yang menimpa umat Islam itu bukan sekadar ia ditindas, dibunuh dan dihalau dari tanah airnya sendiri oleh musuh-musuh mereka yang kejam, tetapi umat Islam juga telah dizalimi dengan dipaksakan undang-undang yang bukan datangnya dari Allah SWT kepada mereka, oleh kerajaan dari kalangan umat Islam sendiri.

Jika tiada sebarang langkah yang diambil sama ada secara individu atau secara jamaah bagi menghindarkan undang-undang thagut itu dipaksakan terhadap umat Islam, maka sama ertinya dengan membiarkan kezaliman itu menimpa saudaranya di hadapan matanya sendiri.

Justeru itu penentangan terhadap kezaliman seperti ini menjadi kewajiban yang mutlak di atas bahu umat Islam seluruhnya, penentangan terhadap kezaliman adalah suatu perjuangan. Tetapi perjuangan mestilah atas nama jamaah, atau jamaah yang berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah. Kerana hanya melalui jamaah akan terbinanya kekuatan, sesungguhnya yang lemah itu tidak mampu mengatasi kezaliman yang sedang bermaharajalela.

Kesimpulannya bahawa setiap mukmin wajib menjaga ibadah wudhunya iaitu melaksanakannya dengan cermat, supaya solatnya tidak rosak disebabkan wudhu yang rosak. Selain itu soal penentangan terhadap kezaliman adalah menjaadi agenda utama dalam perjuangan secara individu dan juga jamaah.

Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment

Sila berikan pendapat, pandangan, komen, kritikan, dan sebagainya dengan berhikmah. Sila gunakan bahasa yang sopan dan tidak mengguris hati mana-ma pihak. Kerjasama daripada anda amatlah dihargai. Syukran Jazilan.